Ummi seperti juga wanita lain ada memiliki beberapa set barang kemas. Ketika saya masih kecil, saya selalu beranggapan emas perhiasan ialah untuk wanita-wanita dewasa atau makcik-makcik sahaja.
Bila tiba Hari Raya atau ada kenduri-kendara, Ummi biasanya akan panggil Kak Long dan saya untuk diberi gelang dan rantai emas untuk dipakai. Kak Long ialah panggilan mesra buat kakak sulung saya yang jarak usianya 4 tahun lebih daripada saya.
Saya selalunya menolak untuk memakai barang kemas yang diberi sebab saya rasa rimas. Saya belum faham konsep pemakaian barang kemas. Kenapa perlu pakai emas? Apa yang nak ditunjuk atau dibuktikan? Tapi Ummi pandai memujuk, jadi saya pakai juga kerana terpaksa dan bila Kak Long pun pakai.
Bila selesai musim perayaan atau majlis yang dihadiri, saya akan cepat-cepat membuka barang kemas dan memulangkan pada Ummi semula. "Tak mboh (tak mahu) la pakai, rimas," getus saya. Begitulah biasanya yang berlaku setiap tahun.
Setelah menamatkan zaman universiti, saya bekerja di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya telah berkenalan dengan seorang jejaka tampan (suami saya sekarang) dan kami merancang untuk berkahwin. Saya telah dihadiahkan sebentuk cincin emas belah rotan sebagai tanda merisik.
Itulah agaknya emas pertama milik saya sendiri. Ada ukiran seperti ombak yang beralun dan beberapa butir mutiara. Sangat cantik pada penglihatan saya. Pada mulanya, saya sering memakainya ke sana dan ke mari. Tapi setelah beberapa lama bila saya menilik dengan teliti, sudah ada banyak calar rupanya!
Setelah itu, saya rasa sayang pula nak pakai, jadi cincin itu pun disimpan kembali. Tiba hari pertunangan, saya menerima sebentuk cincin lagi. Kali ini cincin bertatah permata, lebih cantik dari yang pertama. Hendak disimpan sahaja sayang, jadi saya pakai juga bila ada acara istimewa.
Di hari perkahwinan, suami tersayang menghadiahkan seutas gelang. Ummi seperti biasa menambah lagi emas perhiasan di badan saya iaitu rantai dan dua utas gelang. Ketika itu, saya fikir sebagai raja sehari, saya selayaknya memakai semua itu :)
Tapi kali ini selesai majlis, bila saya mahu pulangkan pada Ummi, Ummi minta saya terus pakai dan jagakan. Agak berat juga hati saya, tapi bila Ummi berkeras, saya mengalah. Lagipun, ada satu lagi majlis sebelah suami minggu depan.
Majlis selesai, minggu berganti bulan dan tahun, barang kemas Ummi saya masih simpan. Ada masa saya pakai juga, tapi kebanyakan waktu, saya buka takut calar atau pudar. Saya simpan dalam laci meja solek, senang untuk ambil dan keluarkan. Dengan cara ini, saya fikir saya lebih selamat daripada ancaman peragut.
Rupanya saya silap! Suatu hari pulang dari kerja, 'grill' depan rumah saya dapati tak berkunci. Selak pintu depan sudah terkopak, maka tahulah saya rumah saya sudah dimasuki orang. Habis semua barang yang berharga, cincin-cincin dan gelang saya termasuk emas-emas Ummi, semuanya hilang...
Mujur juga tidak banyak wang tunai disimpan di rumah. Ada satu balang berisi duit syiling suami saya habis dikebas. Mungkin nilainya mencapai Ringgit Malaysia seratus lebih sahaja. Berbanding barang kemas, walaupun beratnya tidak seberapa, tapi nilainya mencecah ribuan RM!
Sejak itu, barulah saya terasa betapa banyaknya kerugian. Sudah terhantuk, barulah terngadah. Nasi sudah menjadi bubur. Tiada apa lagi yang boleh saya buat untuk kembalikan yang hilang. Saya rasa amat bersalah pada Ummi dan berazam untuk menggantikan semuanya dengan yang lebih baik lagi inshaAllah. Maafkan saya, Ummi.
No comments:
Post a Comment